Harta Sepencarian – Siri 1: Apakah Harta Sepencarian?
Noor Hafiz Hj Kamaruddin
Perunding berdaftar dalam bidang perancangan harta Islam seperti wasiat, hibah dan pengurusan pusaka.
Masyarakat Islam di Malaysia khususnya belum benar-benar memahami konsep harta sepencarian ini. Menyedari hakikat ini, saya ingin berkongsi ilmu dalam beberapa siri blog. Topik kali ini memfokuskan kepada “Apakah Itu Harta Sepencarian?”
Isi Kandungan
Pendahuluan
Kini masyarakat terutama kaum wanita mula peka berkenaan dengan harta sepencarian. Ini dapat dilihat melalui tuntutan terhadap harta sepencarian di Mahkamah Tinggi Syariah agak memberangsangkan mutakhir ini.
Namun, masyarakat Islam di Malaysia khususnya belum benar-benar memahami tentang konsep harta sepencarian ini. Menyedari hakikat ini, saya ingin berkongsi di dalam beberapa siri posting di Page ini memfokuskan kepada “Harta Sepencarian”.
Apakah Itu Harta Sepencarian?
Peruntukan Undang-Undang Malaysia
Menurut Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003, Seksyen 2 mentafsirkan “harta sepencarian” adalah harta yang diperoleh oleh suami dan isteri semasa perkahwinan berkuatkuasa mengikut syarat-syarat yang ditentukan oleh Hukum Syarak.
Menurut Seksyen 122 (1) di dalam Enakmen yang sama menjelaskan secara terperinci Kuasa Mahkamah Syariah berkaitan dengan pembahagian harta sepencarian.
Dalil berkenaan Harta Sepencarian
Firman Allah SWT di dalam Surah An-Nisa’ ayat 32 yang bermaksud:
“Dan janganlah kamu iri hati terhadap apa yang dikurniakan Allah kepada sebahagian kamu lebih banyak dari sebahagian yang lain. (Karena) bagi orang laki-laki ada bahagian dari pada apa yang mereka usahakan, dan bagi para wanita (pun) ada bahagian dari apa yang mereka usahakan, dan mohonlah kepada Allah sebahagian dari kurnia-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.”
Jadi jelas daripada Firman Allah SWT menyatakan bahawa isteri mempunyai hak terhadap apa yang diusahakan yang membawa kepada suami untuk berjaya memiliki sesuatu harta. Usaha ini dikenali sebagai “sumbangan tidak langsung”. Kita akan membincangkan tentang perkara ini di dalam posting yang seterusnya.
Bagaimana Menentukan Harta Sepencarian
Sesuatu harta boleh dikira sebagai harta sepencarian, apabila:
Harta yang diperoleh oleh suami dalam tempoh perkahwinan dengan menggunakan wang sendiri atau titik peluhnya sendiri tanpa sumbangan langsung daripada pihak isteri.
Sebagai contoh: Suami membeli sebuah rumah dalam tempoh perkahwinan menggunakan duitnya sendiri dan isteri tidak memberi sumbangan langsung terhadap pembelian rumah tersebut seperti bayaran deposit atau bayaran ansuran bulanan, isteri berhak untuk menuntut harta sepencarian kerana ada sumbangan tidak langsung oleh pihak isteri
Harta isteri atau harta suami yang dibawa sebelum berkahwin, kemudian dimajukan secara bersama dalam masa perkahwinan, boleh dikira sebagai harta sepencarian.
Contoh: Suami telah membeli rumah sebelum berkahwin. Selepas berkahwin, isteri turut menyumbang kepada bayaran ansuran atau menyumbang untuk tujuan ubahsuai rumah, maka isteri boleh menuntut rumah tersebut sebagai harta sepencarian
Sebarang hasil atau nilai tambahan daripada perkembangan dan pemajuan semasa tempoh perkahwinan ke atas harta semasa yang diperolehi sebelum berkahwin, boleh dikira termasuk dalam harta sepencarian.
Contoh: Rumah yang diperoleh oleh suami sebelum berkahwin dan disewakan. Selepas berkahwin, rumah tersebut telah diubahsuai secara bersama dan sewa rumah tersebut meningkat naik hasil ubahsuai tersebut. Maka, isteri berhak membuat tuntutan harta sepencarian ke atas hasil sewa rumah tersebut.
Sesuatu harta tidak boleh dikira sebagai harta sepencarian, apabila:
Harta suami atau isteri yang diperoleh sebelum perkahwinan tanpa ada apa-apa penambahan atau pemajuan terhadap harta tersebut selepas berkahwin oleh mana-mana pihak.
Contoh: Suami menerima rumah melalui hibah sebelum berkahwin dan selepas berkahwin, tiada sebarang ubahsuai atau penambahan nilai terhadap rumah tersebut, maka rumah tersebut tidak termasuk dalam harta sepencarian
Harta yang diperolehi oleh isteri semasa perkahwinan dengan usahanya sendiri tanpa ada apa-apa sumbangan langsung daripada suami, harta tersebut tidak dikira sebagai harta sepencarian
Contoh: Isteri membeli rumah semasa perkahwinan dengan menggunakan wangnya sendiri tanpa suami memberi apa-apa sumbangan langsung seperti mengeluarkan wang untuk deposit atau ansuran bulanan, maka suami tidak boleh menuntut rumah tersebut sebagai harta sepencarian.
Penutup
Ini adalah serba sedikit perkongsian berkenaan harta yang boleh dikira sebagai harta sepencarian atau bukan harta sepencarian.
Kita akan mengupas lagi berkenaan topik Harta Sepencarian: Sumbangan Langsung dan Sumbangan Tidak Langsung dalam posting yang akan datang.
Kongsi:
Baca Lagi:
Harta Sepencarian – Siri 2: Apakah Perkara yang diambil kira dalam menentukan Harta Sepencarian?
Harta Sepencarian – Siri 2: Apakah Perkara yang diambil kira dalam menentukan Harta Sepencarian? Setelah kita faham dan jelas tentang maksud “Harta Sepencarian” menurut Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam, kita meneruskan
Harta Sepencarian – Siri 3: Prosedur Tuntutan Harta Sepencarian
Harta Sepencarian – Siri 3: Prosedur Tuntutan Harta Sepencarian Pada siri yang lalu, kita telah membincangkan tentang Sumbangan Secara Langsung dan Sumbangan Secara Tidak Langsung dalam menentukan Harta Sepencarian. Kini
Harta Sepencarian – Siri 4: Kadar Pembahagian Harta Sepencarian
Harta Sepencarian – Siri 4: Kadar Pembahagian Harta Sepencarian Perkara yang menjadi pertikaian utama dalam tuntutan harta sepencarian adalah kadar bahagian masing-masing samada banyak atau sedikit. Kadar pembahagian adalah berdasarkan
Harta Sepencarian – Siri 5: Prosedur Tuntutan Harta Sepencarian di Mahkamah
Harta Sepencarian – Siri 5: Prosedur Tuntutan Harta Sepencarian di Mahkamah Setelah kita memahami melalui 4 siri sebelum ini berkaitan dengan tuntutan harta sepencarian di Mahkamah, kini kita telah memasuki